Emerald

Al-Quran

Khamis, 15 September 2011

-DOA UNTUK IBU BAPA- *

Ya Allah 
Rendahkanlah suaraku bagi mereka 
Perindahlah ucapanku di depan mereka 
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan 
Lembutkan hatiku untuk mereka 

Ya Allah, 
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas 
didikan mereka padaku dan Pahala yang besar atas 
kesayangan yang mereka limpahkan padaku,peliharalah 
mereka sebagaimana mereka memeliharaku. 

Ya Allah
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan 
atau kesusahan yang mereka deritakan kerana aku 
atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku 
jadikanlah itu semua penyebab susutnya 
dosa-dosa mereka dan bertambahnya pahala kebaikan 
mereka dengan perkenan-Mu ya Allah 
hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan 
kebaikan berlipat ganda. 

Ya Allah
Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku, 
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku. 
Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku memberi 
syafa'at untuk mereka,sehingga kami semua berkumpul 
bersama dengan santunan-Mu di tempat kediaman 
yang dinaungi kemulian-Mu, ampunan-Mu serta rahmat-Mu... . 

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha 
Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah 
yang Maha Pengasih diantara semua pengasih. 

Amin Ya Rabbul Alamin.. 

Dipetik daripada Kanz al-Ummal bahawa Saidina Ali berkata: ”Sesiapa menjamin untukku  satu perkara, aku jaminnya empat perkara. Hendaklah dia bersilaturrahim (berhubungan baik dengan keluarga terdekat) nescaya keluarganya akan mencintainya, diperluas baginya rezekinya, ditambah umurnya dan Allah memasukkannya ke dalam syurga yang dijanjikan-Nya.”

Jarak dan masa bukanlah masalah untuk kita bersilaturrahim dengan ibu bapa. Malah Rasulullah s.a.w. memberi jaminan kepada Muslim yang bersilaturrahim dengan keluarga terdekat. Bagi pelajar, usahakanlah untuk menjenguk ibu bapa kita sekerap mungkin agar mudah bagi kita memohon doa dan reda mereka. Doa daripada kedua-dua ibu ibu bapa kita dapat mempermudahkan urusan kita terutama dalam menuntut ilmu pada zaman yang penuh dengan cabaran ini.

Tanpa kita sedar, doa daripada ibu bapa kitalah yang menjadi kekuatan bagi kita menghadapi kehidupan ini. Semak kisah-kisah para sahabat yang mendidik anak mereka menjadi penjuang. Bagaimana Khunsa merelakan keempat-empat anaknya mati syahid dan mendoakan kebaikan bagi mereka. Begitu juga perjuangan Yassir mempertahankan imannya setelah meliha t pengorbanan sang ibu, Sumayyah.

Mari sahabat, mulai saat ini kita perlu perbaiki hubungan kita dengan ibu bapa kita. Sehebat manapun kita menongkah dunia, kita tidak akan mampu membalas tiap peluh ibu bapa kita yang menitis di atas muka bumi ini untuk membesar dan memberikan keselesaan kepada kita.

Sejauh manapun kejayaan yang kita raih, kita belum dikatakan berjaya jika hubungan kita dengan ibu bapa kita masih “di hujung ingatan”. Letakkan cinta kita kepada mereka selepas cinta kepada Allah dan Rasul. Ibu bapa tidak dapat diganti dengan harta atau kedudukan, tetapi bakti kita kepada mereka dapat menaikkan darjat kita di sisi Allah s.w.t. Cintailah mereka apa adanya dan jangan mengharapkan cinta kita dibalas. Berikan cinta kita kepada mereka dengan jujur dan ikhlas maka tika kita berhadapan dengan Allah s.w.t dengan kelak, kita akan dimasukkan dengan golongan yang melakukan kebaikan dan kebajikan.

Dipetik dari majalah solusi isu 27 . bahagian Suara Kampus- Cintai Mereka Apa Adanya – Ummu Sakinah Hj Muhammad.