Emerald

Al-Quran

Selasa, 3 Mei 2011

Sabar menolak kemungkaran satu cabaran

Cabaran besar kepada umat Islam pada hari ini ialah menolak kemungkaran yang berada di hadapan mata. Semua itu memerlukan kesabaran yang jitu. Mungkin ramai yang boleh sabar dalam menempuh musibah yang melanda, tetapi mereka tidak boleh sabar untuk menahan rasa marah kepada orang yang menyebabkan musibah itu.

Hanya orang yang benar-benar beriman kepada Allah sahaja yang mampu sabar dalam semua keadaan kerana mereka mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas dirinya adalah kehendak Allah. Sesuatu yang sudah ditakdirkan tidak dapat dielak lagi. Demikian orang yang taat, tidak akan berasa susah untuk mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Tegasnya, orang yang mampu sabar itu adalah orang yang beriman. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang sabar dalam musibah, penderitaan dan dalam peperangan mereka itulah orang-orang yang benar imannya, dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah :177)

Persoalannya bagaimana cabaran ini harus dihadapi oleh umat Islam yang rata-ratanya belum begitu benar-benar beriman. Bagi menyelesaikan semua itu perhatikan pecahan sabar yang harus dimiliki oleh umat Islam.

1- Sabar (menahan) daripada kehendak syahwat perut dan kemaluan. Sabar ini disebut iffah.
2- Sabar dalam menghadapi musibah, lazimnya disebut sabar.
3- Sabar dalam keadaan kehidupannya yang serba cukup dan mampu. Sabar ini disebut mengawal nafsu.
4- Sabar dalam peperangan dan pertempuran. Sabar ini disebut syaja’ah (berani).
5- Sabar dalam mengekang kemarahan. Sabar ini disebut lemah lembut (al-hilmu).
6- Sabar menyimpan rahsia. Sabar itu disebut katum.
7- Sabar memiliki kelebihan dan kemewahan. Sabar ini disebut zuhud.

Antara tujuh sabar itu, dimanakah tahap anda? Kalau anda seorang lelaki yang diundang oleh seorang wanita ke rumahnya, mampukah anda menolaknya? Apabila anda berduaan tentu terdedah kepada keinginan seks, mampukah anda dan wanita itu mengekang nafsu masing-masing sedangkan peluang ke arah itu sudah terbuka luas? Inilah cabaran yang harus mereka lalui sebagai seorang muslim.

Percayalah jika anda dapat mengawal nafsu syahwat anda dan terus bertindak keluar dari rumah wanita tersebut, maka andalah lelaki yang sebenar-benar bersabar. Inilah lelaki yang dipelihara imannya dan inilah lelaki dijamin syurga. Begitu juga wanita tersebut jika dia mampu bertindak melindungi tubuhnya daripada disentuh lelaki, itulah wanita penyabar yang sudah pasti dijamin syurga.

Lelaki dan wanita dalam keadaan itu bukanlah calang-calang manusia kerana mereka boleh bersabar walaupun hati dan nafsu terlalu meruntun. Dengan kesabaran mereka itu maka layaklah mereka memasuki syurga Allah tanpa hisab.

Anda boleh menilai tahap sabar anda pada pecahan sabar di atas jika anda mahu. Tetapi ketahuilah tahap sabar ini sangat berkait dengan sejauh mana tinggi tahap iman anda. Imanlah yang menyebabkan anda boleh bersabar untuk menolak kemungkaran. Jadi, setiap orang Islam perlu memilki iman dan sabar pada tahap ini demi menghadapi cabaran masa kini

Khasiat Surah Al-Waqiah

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Sesiapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap hari, ia tidak akan ditimpa kefakiran.”

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Siapa membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kesusahan atau kemiskinan selama-lamanya. (Diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud r.a.)

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Ajarkanlah surah Al-Waqi’ah kepada isteri-isterimu. Kerana sesungguhnya ia adalah surah Kekayaan.” (Hadis riwayat Ibnu Ady)

Sabda Rasulullah s.a.w. : “Barang siapa yang membaca surah Al-Waqi’ah setiap malam maka dia tidak akan tertimpa kefakiran dan kemiskinan selamanya. Dan surah Al-Waqi’ah adalah surah kekayaan, maka bacalah ia dan ajarkan kepada anak-anakmu semua.”

Menurut fatwa sebahagian Ulama’ katanya: “Barangsiapa membaca surah Al-Waqi’ah pada setiap hari dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali, selama 40 hari pula, maka Allah akan memudahkan rezekinya dengan tanpa kesukaran dan mengalir terus dari pelbagai penjuru serta berkah pula.”

Surah Al-Waqi’ah adalah surah yang ke -56 di dalam Al-Quran, terletak pada juzuk ke 27 dan terdiri dari 96 ayat. Dinamakan Al-Waqi’ah kerana di ambil dari lafal Al-Waqi’ah yang terdapat pada ayat pertama surah ini, yang ertinya kiamat. Di dalam surah Al-Waqi’ah ini menerangkan tentang hari kiamat, balasan yang diterima oleh orang-orang mukmin dan orang-orang kafir. Diterangkan pula penciptaan manusia, tumbuh-tumbuhan, dan api, sebagai bukti kekuasaan Allah dan adanya hari berbangkit.

Di dalam surah Al-Waqi’ah terkandung beberapa khasiat, antara lain:

Bila orang membiasakan membaca surah ini setiap malam satu kali, maka dia dijauhkan dari kemiskinan selamanya.



Bila di baca 14 kali setiap selesai solat Asar, maka orang yang membacanya itu akan memperoleh kekayaan yang berlimpah ruah.

Jika di baca surah ini sebanyak 41 kali dalam satu majlis (sekali duduk), insyaAllah di tunaikan segala hajatnya khususnya yang berkaitan dengan rezeki.

Supaya menjadi orang yang kaya sentiasa bersyukur, amalkan membaca surah ini sebanyak 3 kali selepas solat subuh dan 3 kali selepas solat Isya’. InsyaAllah tidak akan berlalu masa setahun itu melainkan ia akan di jadikan seorang yang hartawan lagi dermawan.

Amalan orang-orang sufi, supaya dilimpahkan rezeki. Hendaklah berpuasa selama seminggu bermula pada hari Jumaat. Setiap selepas solat fardhu bacalah Surah Al-Waqi’ah ini sebanyak 25 kali sehinggalah sampai pada malam Jumaat berikutnya; pada malam Jumaat berikutnya itu, selepas solat Maghrib bacalah surah ini sebanyak 25 kali, selepas solat Isya’ bacalah surah ini sebanyak 125 kali diikuti dengan selawat keatas Nabi sebanyak 1000 kali. Setelah selesai, hendaklah ia memperbanyakkan sedekah. Kemudian amalkanlah surah ini sekali pada waktu pagi dan petang. Insya’Allah berhasil.

Surah ini jika dibaca disisi mayat atau orang yang sedang nazak, insyaAllah di permudahkan untuk roh keluar dari jasadnya. Jika dibaca disisi orang sakit, diringankan kesakitannya. Jika di tulis, kemudian dipakaikan kepada orang yang hendak bersalin, InsyaAllah segera melahirkan dengan mudah. Boleh juga dibaca disisi orang yang hendak bersalin sebagai selusuh.

Menurut As’Syeikh Abi’l Abbas katanya

Bila hendak mengamalkan surah Al-Waqi’ah ini, terlebih dahulu berpuasa selama 7 hari, di mulai pada hari Jumaat berakhir pada hari Khamis. Puasanya “tidak memakan sesuatu yang bernyawa / tidak makan ikan, daging, segala haiwan, hanya makan sayur-sayuran sahaja.

Dalam 7 hari itu, sesudah solat fardhu, membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 25 kali. Apabila bacaan tersebut di mulai setelah solat fardhu Subuh pada hari Jumaat pertama, maka diakhirilah pembacaan Al-Waqi’ah itu pada setelah fardhu Isya’ pada Jumaat berikutnya.

Pada malam Jumaat terakhir ini hendaklah membaca surah Al-Waqi’ah sebanyak 125 kali kemudian selawat 1000 kali.

Insya’Allah, dengan mengamalkan seperti berikut, ia akan menjadi orang kaya.