Emerald

Al-Quran

Isnin, 9 Mei 2011

Selawat Nabi S.A.W Fadhilat & Khasiatnya.

Pengertian Selawat:



Selawat adalah jamak dari kalimat solat . Selawat menurut bahasa ertinya ialah doa , rahmat dari allah , memberi berkah dan ibadat .



Dalam kitab suci Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah dan para malaikat-nya selawat kepada Nabi . Hai orang² yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya .” ( Surah Al-Ahzab:ayat 56 )

Selawat kepada nabi terdiri dari tiga macam tingkatan :



1.Selawat Allah kepada Nabi dan Rasulnya , istimewa kepada Nabi Muhammad S.A.W. bererti Allah memberi rahmat , memuji dan melahirkan keutamaan serta mendekatkan Nabi Muhammad S.A.W kepadanya .

2.Selawat para Malaikat kepada para Nabi dan Rasul dan Nabi Muhammad S.A.W , bererti malaikat² mendoakan atau memohon rahmat kemuliaan serta keampunan .

3.Selawat manusia kepada Nabi Muhammad S.A.W , bererti mengakui kerasulannya , memohon kepada Allah melahirkan keutamaan , kemuliaan dan mengakui serta mengikuti kebenaran ajaran yang dibawanya.

Hukum Membaca Selawat



Para ulama' telah memberi berbagai pendapat tentang hukum membaca selawat ke atas Nabi S.A.W diantaranya :



1.Imam Syafie mengatakan , selawat itu wajib dibacakan dlm tasyahud akhir, iaitu di antara tasyahud (tahiyyat) dan salam .

2.Imam Asy-Sya’bi berpendapat, selawat wajib dibaca dalam solat dalam kedua-dua tasyhud awal dan akhir .

3.Abu Jaafar Al-Baqir mengatakan , selawat wajib dibaca di dalam solat sama ada dlm tasyahud awal atau akhir .

4.Abu Bakar ibnu Al-Baqir berpendapat , selawat wajib dibaca tanpa mengira bilangannya .

5.Abu Bakar Ar-Razi & Ibnu Hazmin berpendapat , berselawat wajib dalam seumur hidup walaupun hanya sekali .

6.At-Thahawi berpendapat , selawat wajib apabila seseorang mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad S.A.W

7.Az-Zamakhsyari berpendapat , selawat wajib dibaca pada tiap² sesuatu majlis .

8.Ibnu Jarir At-Thabari berpendapat , berselawat kepada Nabi adalah suatu pekerjaan yang disukai sahaja .

9.Ibnu Qashshar berpendapat , berselawat kpd Nabi adalah suatu ibadah wajib .


Kesimpulannya , membaca selawat ke atas Nabi S.A.W adalah suatu amaliah dan ibadah yang terpuji yang amat disukai Allah dan para malaikat-nya serta sangat dianjurkan sebagai suatu penghormatan dan memohon rahmat kepada Nabi S.A.W.

Dalil-dalil Hadis Tentang Selawat



1.Sabda Nabi S.A.W “ Dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Orang yang terdekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.” ( Hadis Riwayat At-Trimidzi )

2.Sabda Nabi s.a.w : “ Berselawat atas para Nabi Allah dan utusan-Nya sebagaimana kamu berselawat kepadaku kerana mereka itu sama diutuskan sebagaimana aku diutus . “ (Hadis Riwayat Ahmad & Al-Khatib )

3.Sabda Nabi s.a.w : “ Dari Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : Janganlah kamu jadikan kuburku sebagai tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku , maka sesungguhnya bacaan selawatmu itu akan sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada . “ ( Hadis Riwayat Abu Daud )

4.Sabda Nabi s.a.w : “ Tiada dari seseorang yang mengucapkan salam kepadaku melainkan Allah menerima rohku sehingga aku menjawab salam kepadanya. “ ( Hadis Riwayat Abu Daud )


Berdasarkan dari hadis² , jelas bahawa membaca selawat kepada Nabi s.a.w adalah suatu dari rangkaian iman dan ibadah yang wajib disempurnakan oleh kaum Muslimin dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan . Semoga dengan sentiasa berselawat ke atas Nabi , Allah akan memberi rahmat dan keberkatan dalam kehidupan kaum Muslimin .



Waktu-Waktu berselawat:-



Terdapat banyak hadis yang menerangkan mengenai tempat² dan waktu² yang dituntut supaya kaum Muslimin membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. Diantaranya :



1.Ketika hendak masuk ke dalam masjid dan ketika hendak keluar darinya . Nabi s.aw bersabda :“ Apabila seseorang kamu masuk ke dalam masjid , maka hendaklah ia membaca salam kepadaku ( selawat dan salam ). Sesudah itu berdoa : Wahai Tuhanku , bukakanlah untukku segala pintu rahmat-Mu . Dan apabila ia hendak keluar hendaklah berdoa : Wahai Tuhanku , aku memohon kepadamu limpahan rahmat-Mu .” ( Hadis Riwayat Abu Daud )



Ibnu Sunni menceritakan bahawa apabila Rasulullah s.a.w masuk dari masjid beliau membaca selawat yang bermaksud “ Dengan Nama Allah , selawatlah keatas Muhammad “



2.Sesudah Azan . Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud : “ Apabila kamu mendengar mu’azzin yang menyerukan azan, maka jawablah dengan bacaan yang sama ia baca. Setelah selesai maka berselawatlah kamu kepadaku .” ( Hadis Riwayat Ahmad dan Muslim )


3.Sesudah membaca tasyahud akhir dalam sembahyang .


4.Di dalam sembahyang jenazah . Menurut Imam Syafi’e dalam Al-Musnad : “ Sunnah Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan sembahyang jenazah adalah bertakbir pada permulaannya , setelah itu ia membaca fatihah lalu takbir kedua dan sesudahnya membaca selawat dan kemudian bertakbir lagi kali ketiga.”


5.Diantara takbir-takbir sembahyang sunat hari raya . Berkata sebahagian ulamak adalah lebih baik jika membaca selawat mengiringi takbir hari raya seperti yang bermaksud “ Maha suci Allah segala puji dan sanjungan bagi Allah jua . Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah yang Maha Besar. Ya Allah , muliakan olehmu Nabi Muhammad dan keluarganya. Ya Allah ampuni aku dan berilah rahmat kepadaku. “


6.Di permulaan dan akhir doa . Nabi bersabda : “ Sesungguhnya doa itu berhenti antara langit dan bumi . tiada naik , barang sedikit jua daripadanya sehingga kamu berselawat kepada Nabimu. “ ( Hadis Riwayat At-Tirmidzi )


7.Di akhir qunut dalam sembahyang . Diriwayatkan oleh An-Nasai bahawa disukai seseorang mengakhiri qunut dengan membaca selawat yg bermaksud “ Dan mudah-mudahan Allah melimpahkan selawat (rahmat) atas Muhammad . “


8.Di malam dan di hari Jumaat . Sabda Nabi s.a.w yg bermaksud “ Banyakkanlah olehmu membaca selawat di malam hari Jumaat dan siangnya kerana selawat itu dikemukakan kepadaku . “ ( Hadis Riwayat Thabarani )


9.Di dalam khutbah Jumaat . Dalam mazhab Syafi’e para khatib wajib membaca selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w pada permulaan kutbah , sesudah membaca thamid dan juga sebelum akhir khutbah Jumaat .


10.Ketika berziarah di makam atau kubur Nabi Muhammad s.a.w . Sabda Nabi s.a.w : “ Tidak seorang pun di antara kamu yang memberi salamnya iaitu di sisi kuburku , melainkan Allah mengembalikan kepadaku rohku untuk menjawab salamnya. “ ( Hadis Riwayat Abu Daud )


11.Sesudah bertalbiah . Sabda Nabi s.a.w : “ Memang disuruh seseorang membaca selawat untuk Nabi ketika ia telah selesai talbiahnya dalam segala keadaan . “ ( Hadis Riwayat Syafi’i &Daraquthni )


12.Ketika setiap mengadakan majlis atau keramaian . Sabda Nabi s.a.w : “ Tiadalah duduk suatu kaum di dalam sesuatu majlis sedang mereka telah menyebut (mengingati) Allah Taala dan tiada berselawat ke atas Nabinya, melainkan menderita nescaya Allah akan menyeksa mereka dan jika Allah menghendaki nescaya akan mengampuni mereka .” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi & Abu Daud)


13.Ketika berjumpa sahabat handai atau saudara mara sesame Islam . Sabda Nabi s.a.w : “ Tiadalah dua hamba yang saling cinta mencintai kerana Allah yang berjumpa salah seorang yang lain lalu berjabat tangan ( bersalam ) dan berselawat kepada Nabi s.a.w . melainkan Allah mengampuni dosanya sebelum mereka berpisah , baik yang telah lalu ataupun yang akan datang . “ ( Hadis riwayat Ibnu Sunni )


14.Ketika akan memulakan sesuatu pekerjaan yang baik atau penting . Sabda Nabi s.a.w : “ Setiap pekerjaan yang baik yang tidak dimulai dengan hamdalah (memuji Allah) dan selawat , maka pekerjaan atau urusan itu terputus dan hilang barkahnya . “ ( Hadis Riwayat Ar-Rahawi )


15.ketika mendengar orang menyebut nama Nabi s.a.w . Sabda Nabi s.a.w : “ orang yang bakhil itu adalah orang yang tidak mahu berselawat ketika orang menyebut namaku di sisinya . “ ( Hadis Riwayat At-Tirmidzi )


16.Ketika telinga berdengung . Sabda Nabi s.a.w : “ Jika telinga salah seorang dari kamu berdengung , maka hendaklah ia mengingati dan berselawat kepadaku . “ ( Hadis Riwayat Ibnu Sunni )


17.Ketika mengalami kesusahan dan kebimbangan . Diberitakan oleh Ubay bin Kaab bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah , ujurnya : “ Ya Rasulullah bagaimana pendapat engkau sekiranya aku jadikan selawat untuk engkau semua? Jawap Rasulullah s.a.w “ Kalau demikian Allah akan memelihara engkau baik mengenai dunia mahu pun mengenai akhiratmu. “ ( Hadis Riwayat Ahmad )


18.Setiap waktu pagi dan petang . Sabda Nabi s.a.w : “ Barang siapa berselawat kepadaku waktu pagi sepuluh kali dan waktu petang sepuluh kali , maka ia akan mendapat syafaatku di hari kiamat . “ ( Hadis Riwayat Thabarani )



Logiknya Solat Dalam Sudut Pandangan Sains.

Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.

Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita.Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.

Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan.

Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan – sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.

Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dakam tubuh.

Situasi yang sama turut berlaku di sebelah

petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yng kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.

Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat.Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).

Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang l engkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah ynag tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Belaiu merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.

Ramai Yang Masih Tidak Solat..

“Sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari”. Anda mungkin terkejut dengan data ini tetapi itulah hakikatnya. Dalam satu kajian yang telah dilakukan oleh tokoh motivasi terkenal di Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, bahawa sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari. Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini.

Menurut Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah antara golongan yang kerap meninggalkan ibadah solat ini ialah golongan para pelajar sekolah, golongan belia, pekerja kilang, anggota pasukan seragam dan juga para peniaga (Utusan Malaysia 2008, 23 Jun).Menurut kajian itu lagi hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari, sementara bagi pelajar -pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari. dan fakta ini ternyata menyamai dapatan kajian yang menunjukkan bahawa sejumlah 86.2% responden mengakui kerap meninggalkan solat dan sejumlah kecil responden yang melaksanakan solat dengan secukupnya.

Selain dari itu kadar pelaksanaan yang rendah dalam ibadah solat di kalangan responden dalam kajian ini juga mungkin dapat dikaitkan dengan tahap pengetahuan dan kemahiran responden dalam menunaikan ibadat tersebut. Apakah faktor yang menyebabkan jumlah besar responden tidak menunaikan solat dalam kehidupan mereka? Persoalan ini mungkin tidak dapat diselesaikan dengan menjaga fakta-fakta atau cara melaksanakan solat. Sesungguhnya ia melibatkan banyak faktor lain termasuk motivasi pelaksanaan solat dan ibadat. Menurut al-Kumayi (2009) terdapat tiga halangan dalam melaksanakan ibadah iaitu:

Malas (kasal) mengerjakan ibadat kepada Allah, sedang setiap insan sanggup dan berupaya melakukan ibadah.
Lemah fikiran (futur) atau tidak memiliki tekad yang kuat kerana terpengaruh dengan kehidupan dunia.
Bosan (malal) atau cepat berasa bosan melakukan ibadah sedangkan tujuan belum tercapai.

Sesungguhnya amalan atau perbuatan meninggalkan solat ini merupakan masalah yang serius atau cukup barat, kerana baik buruknya perlakuan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya. Jika ibadah solatnya baik, dilakukan dengan peluh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat dan penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar. Aspek ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam organisasi atau pun yang melakukan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan syarak.

Doa Dan Cara Untuk Berdoa.

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) yang perlahan.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Kali ini, saya ingin bersama-sama dengan saudara sekalian untuk kita melihat dalil-dalil (samada dari hadith Rasulullah SAW & ayat-ayat dari Al-Quran) mengenai doa & cara yang sebenarnya untuk berdoa.

Diharap kepada mereka yang mempunyai sedikit pengetahuan tentang ini, dapat berkongsi bersama-sama saya dalam usaha kita melakukan ibadah sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Semoga Allah memberkati usaha kita. Wallahu’Alam.
Antara dalil-dalil yang berkaitan dengan ibadah doa ini:

1. “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60).

2. “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

3. Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia tidak tergopah-gapah. Ditanya kepada baginda : Apa itu tergopoh-gapah ? . Sabda baginda : Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !, tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu dan meninggalkan doa – (Riwayat Muslim).

4. “Doa itu adalah ibadah” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

5. Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah: 186).

6. Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina (Surah Ghafir: 60).

7. Janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”. (surah Yusuf: 87)

Doa Malaikat, Pahala Besar Buat Jemaah Bersolat Di Saf Depan.

Kita biasa melihat jemaah yang memenuhi saf depan ketika bersolat jemaah di masjid atau di surau, kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas. Kalau ada anak muda sekali pun, maka ia boleh dihitung dengan jari.

Yang muda, yang gagah bertenaga dan belia remaja santai lebih selesa bersolat di barisan saf belakang. Tahukah kita bahawa beruntungnya jika kita bersolat di saf paling hadapan kerana kita akan didoakan oleh malaikat dan mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT.

Rasulullah SAW ada berpesan kepada kita semua: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat berselawat kepada orang yang berada di saf yang pertama.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Inilah bukti anjuran Islam dalam menggalakkan umat agar berebut untuk menunaikan solat di barisan pertama.Kemudian Rasulullah SAW juga mengatakan bahawa jika manusia mengetahui fadilat bersolat di saf hadapan, nescaya mereka berebut-rebut untuk mendapatkan tempat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Jadi, seharusnyalah kita sebagai umat Islam bermotivasi untuk berada di saf depan ketika melaksanakan solat berjemaah. Sekarang marilah kita secara jujur meninjau keadaan di masjid dan surau ketika ini yang menunjukkan betapa ramai di kalangan kita sudah tidak menghiraukan akan pesanan Nabi kita agar mengambil peluang untuk berada di saf depan.

Dalam keadaan dewasa ini, kita terpaksa akui bahawa kebanyakan daripada kita sudah tidak mementingkan kelebihan berada di saf depan ketika menunaikan solat. Apa yang penting, asalkan solat berjemaah saja?

Marilah kita ghairah untuk merebut tempat

di saf pertama setiap kali mendirikan solat berjemaah. Tanamkan azam yang mantap supaya kita tidak ketinggalan saf itu. Untuk menjayakan visi itu maka hendaklah kita segera ke masjid untuk solat berjemaah.Marilah kita hayati peringatan Nabi SAW ini: “Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan.” (Hadis riwayaat Abu Daud, At-Tirmidzi).

Ini ada satu kisah bagaimana Nabi SAW mendidik sahabat dalam mengerjakan solat berjemaah. Daripada Sa’ed Al-Khudry R.A. bahawa Rasulullah SAW mendapati ada di kalangan sahabatnya melambat-lambatkan diri mereka untuk menyertai saf pertama, lantas Baginda SAW mengingatkan mereka:

“Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka.” (hadis riwayat Muslim). Perhatikan baik-baik akan sabda Nabi SAW itu. “….akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan meninggalkan saf yang pertama…”. Mungkin kitalah kaum yang dikatakan Nabi SAW itu? Fikir dan renungkanlah.

Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW ada mengatakan: “Hadirilah solat Jumaat, dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan berterusan menjauhkan sehingga ia akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun ia memasukinya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Sewajarnya pesanan Nabi SAW itu menjadi pedoman buat kita supaya tidak membiarkan diri memilih saf belakang untuk bersolat jemaah di masjid. Jangan biarkan diri kita berasa selesa dan seronok bersolat di saf belakang, sebaliknya mulalah memilih dan segera mara ke saf paling depan dan hampir dengan imam.

Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa solat berjemaah yang berkualiti ialah solat seseorang yang di saf paling hadapan. Inilah golongan yang didoakan malaikat dan mendapat jaminan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

10 Kunci Kejayaan Di Dunia Dan Di Akhirat.

Dalam tips motivasi kali ini saya akan berkongsi dengan anda 10 kunci kejayaan dunia dan akhirat. Kata lain, faktor yang menentukan kejayaan kita. Tips ini sudah lama dalam simpanan saya, kini tibalah masanya untuk dikongsikan bersama anda.

Kadang-kadang dalam mengejar kecemerlangan, ramai antara kita terperangkat dalam ‘kepompong’ diri, maksudnya tidak tahu cara untuk melepasi self-limits atau batasan diri yang tidak ternampak oleh kita, namun di nampak oleh orang lain seperti kawan rapat kita, ahli keluarga, pensyarah, guru, atau pun sahabat kita.Orang-orang yang mampu melintasi self limits atau batasan diri ini sebenarnya mengetahui kunci-kunci untuk membuka pintu kejayaan dunia dan akhirat.

Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah memanggil apa yang saya tulis ini sebagai “Menerobos Sempadan Diri“. Buku motivasi Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah dengan tajuk tersebut dah habis saya baca dan saya juga telah mempraktikkan beberapa tips motivasi yang diajarkan oleh Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah bagi merangsang kecemerlangan diri saya.

Di bawah ini adalah senarai 10 kunci kejayaan dunia dan akhirat :

1. Kunci ilmu adalah bertanya dan mendengar.

2. Kunci kemenangan adalah sabar.

3. Kunci tambahnya nikmat ialah perasaan syukur.

4. Kunci keselamatan dunia dan akhirat adalah taqwa.

5. Kunci untuk termakbulnya permintaan adalah doa.

6. Kunci maksiat adalah kesombongan.

7. Kunci solat adalah taharah.

8. Kunci ibadah haji adalah ihram.

9. Kunci kebaikan adalah berpegang kepada yang benar.

10. Kunci syurga adalah tauhid.

Azan - Sejarah Dan Adab Sebagai Muazzin.

Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua sedikit pengetahuan mengenai azan nih..Yela, mmg la kita selalu dengar tetapi kadang-kadang kita kurang faham dengan azan ini sendiri (cth: kenapa muazzin letak jari dlm telinga ketika azan?).

Dan artikel ini saya akan lebih menjurus kepada tatacara seorang muazzin dan insyaAllah saya cuba mendapatkan dalil-dalil yang sahih untuk rujukan kita semua. Wallahu’alam.

SEJARAH AZAN

Azan mula diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama Hijrah. Dalam hadis yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim daripada Ibnu `Umar R. A:

“Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi s.a.w. telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah.

Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat, Ada yang mencadangkan ditiup serunai ataupun trompet; dan ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng. Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Rasulullah S.A.W.(kerana meniup serunai atau trompet dan memukul loceng adalah cara pemanggilan sembahyang bagi masyarakat Yahudi dan Nasrani(Kristian). Umar bin al-Khattab mencadangkan diteriakkan ucapan: “Telah datang waktu solat”. Usul ini telah diterima oleh Rasulullah S.A.W. tetapi Baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu jami`ah” yang bererti “marilah solat berjemaah”.

Pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi mengenai cara yang lebih baik untuk memberitahu solat dengan mengumandangkanlah Allahu Akbar… (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Rasulullah S.A.W. dan baginda bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”. Nabi s.a.w. memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar datang kepada Rasulullah S.A.W. dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti Abdullah bin Zaid.

Al-Bazzar meriwayatkan bahawa: “Rasulullah S.A.W. pada malam Israk telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s., Allah s.w.t. menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi”.

Antara dalil-dalil lain:

Dari Anas Bin Malik: Bila jumlah orang Islam bertambah, mereka berbincang cara bagaimana hendak mengetahui waktu solat dengan cara yang mudah. Setengah mengesyorkan supaya dinyalakan api dan ada yang mengesyorkan untuk dibunyikan loceng. Bilal diarahkan untuk malaungkan lafaz azan dua kali dan iqama’ sekali sahaja. – Sahih Bukhari : Jilid 1, Buku 11, No 580

ADAB DAN TATATERTIB SEORANG MUAZZIN

Orang yang melaungkan azan hendaklah seorang lelaki Muslim yang berakal. Azan mestilah dilakukan oleh seorang sahaja untuk semua kariah, dan tidak boleh dibuat berulang kali untuk kariah yang sama. Azan hendaklah dilafazkan dalam Bahasa Arab.

Untuk Solat Jumaat, azan berkumandang sebanyak dua kali, kali pertama untuk menandakan masuk waktu Zuhur untuk memanggil orang-orang Muslim ke masjid dan kali kedua dikumandangkan sejurus sebelum Imam memulakan Khutbah Jumaat. Iqamat dilafazkan selepas imam selesai membaca khutbah, dan sebelum imam mengangkat Takbir Jumaat.

Seorang muazzin dianjurkan untuk memperhatikan etika atau adab-adab di bawah ini :

1. Dianjurkan sebelum mengumandangkan adzan ia berwudhu ( bersuci ) lebih dahulu.

2. Dianjurkan untuk mengumandangkan adzan dengan pelan-pelan dan jelas.

3. Dianjurkan untuk mengumandangkan adzan dari tempat yang tinggi jika tidak ada alat pengeras suara. Ini dimaksudkan agar suara adzan menyebar lebih luas. Sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Bilal, iaitu mengumandangkan adzan dari atas rumah seorang wanita dari Bani Najjar, yang rumahnya kebetulan paling tinggi di sekitar masjid. ( Hadist Hasan Riwayat Abu Daud )

4. Meletakkan kedua jarinya di kedua telinganya. Sebagaimana di dalam hadist Abu Juhaifah Radhiyallahu ‘Anhu bahawasanya ia berkata :

رايت بلالا يؤذن واتتبع فاه ها هنا وها هنا واصبعاه في اذنيه

“Aku pernah melihat Bilal mengumandangkan adzan, dan aku mencermati (gerakan) mulutnya kesini dan kesini. Sementara kedua jarinya berada dikedua telinganya. (Hadith Riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah )

5. Hendaknya muazzin mempunyai suara yang baik dan lantang. Sebagaimana di dalam hadist Abdullah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu bahwasanya Rasulullah Sholahu ‘Alaihi Wa as- salam bersabda :

فقم مع بلال فألق عليه مارأيت فاليؤذّن به فإنه أندي صوتا منك

Bangkitlah bersama Bilal lalu sampai kepadanya apa yang engkau lihat, kemudian hendaklah dia mengumandangkannya, karena suaranya (Bilal) itu lebih lantang darimu.”(Hadith Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Sebagai tambahan, Sunat ketika azan dan iqamah – tanpa menggerakkan dada dan kaki – memalingkan muka ke sebelah kanan apabila menyerukan jawi1 Azan Sejarah & Adab Sebagai Muazzin , lalu kembali semula memalingkan muka ke arah qiblat. Kemudian Sunat memalingkan muka ke sebelah kiri apabila menyerukan dua kali kalimah jawi2 Azan Sejarah & Adab Sebagai Muazzin lalu kembali semula memalingkan muka ke arah qiblat.

Sebagaimana hadis daripada Abu Juhaifah Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Aku pernah datang mengadap Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam di Mekkah sewaktu Baginda berada di dalam sebuah qubbah (khemah) merah diperbuat daripada kulit. Lalu Bilal keluar dan menyerukan azan, sedang aku memerhati mulut Bilal yang menghala ke sana dan ke sana (ke kanan dan ke kiri).

(Abu Juhaifah) berkata: “Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam keluar dengan pakaian merah corak Yaman buatan Qatar.”Musa berkata: “Berkata (Abu Juhaifah): “Aku telah melihat Bilal keluar ke Abthah lalu menyerukan azan, sesudah sampai kepada: ( dan dia memalingkan lehernya ke kanan dan ke kiri tanpa berpusing. Kemudian Bilal masuk (ke kediamannya) lalu dia mengeluarkan tongkat.”

(Hadis riwayat Abu Daud)

ANTARA PERKARA-PERKARA YANG DILARANG

Haram talhin (berlagu-lagu) ketika azan dan iqamah jika lagu-lagu itu mengubah makna kalimah-kalimahnya atau menimbulkan kewahaman yang ditegah. Seperti contoh-contoh berikut:

1. Memanjangkan huruf “hamzah” pada kalimah asyhadu jawi5 Azan Sejarah & Adab Sebagai Muazzin maka menjadilah hamzah itu sebagai istifham (tanda tanya).

2. Memanjangkan huruf “ba” pada kalimah akbar jawi6 Azan Sejarah & Adab Sebagai Muazzin maka menjadilah ia sebagai jama‘ kepada kabar yang bererti gendang yang satu muka.

3. Mengwakafkan pada kalimah la ilaha jawi7 Azan Sejarah & Adab Sebagai Muazzin yang bererti “tiada Tuhan” dan memulakan bacaan pada kalimah illallah (إلا الله) yang bererti “melainkan Allah” maka perkara ini boleh membawa kepada kufur.

4. Memanjangkan huruf “alif” pada kalimah Allah jawi9 Azan Sejarah & Adab Sebagai Muazzin kerana melebihi pada huruf mad dan lin daripada kadar yang dibaca oleh orang Arab maka itu adalah salah.

5. Menukar huruf “alif” kepada huruf “ha” pada kalimah Allah jawi10.pg Azan Sejarah & Adab Sebagai Muazzin

6. Memanjangkan huruf “hamzah” pada kalimah akbar jawi11.pg Azan Sejarah & Adab Sebagai Muazzin

7. Tidak menyebut huruf “ha” pada kalimah as-shalah jawi12 Azan Sejarah & Adab Sebagai Muazzin maka menjadilah maksudnya seruan menuju ke neraka. – (Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 1/473)



Alhamdulillah, ini sahaja yang dapat saya berkongsi buat kali ini. Sekiranya ada kecacatan dan juga pembetulan, diharap dapat diperbetulkan dengan komen-komen anda di bawah. InsyaAllah akan saya updatekan dari semasa ke semasa.

Diharap semua mendapat manfaat daripada artikel kali ini. Marilah kita bersama-sama cuba untuk menjalankan tanggungjawag sebagai muazzin di dalam kariah kita kerana banyak kelebihannya menjadi muazzin ini seperti yang disebut oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadith:-

Maksudnya:
Dari Ibnu Amru bin Al-‘As Radiallahu-Anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tukang azan yang melaungkan azan secara sukarela adalah seperti seorang syahid yang berlumuran darah, jika dia meninggal dunia, matinya tidak berulat di dalam kubur. (Riwayat Al-Imam At-Thabrani)

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi:-

Maksudnya:
Barangsiapa azan tujuh tahun dengan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala, nescaya wajib baginya lepas dari api neraka. (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi)

Wallahu’Alam. Semoga Allah memberkati atas usaha kita semua.

Rahsia Cemerlang Dalam Pergaulan.

Orang yang cemerlang ialah orang yang hebat dalam pergaulan dan ramai kawan. Tiada kejayaan sebenar tercetus secara bersendirian. Kita amat memerlukan bantuan, teguran dan penglibatan orang lain untuk mengorak langkah menuju kejayaan. Pakar motivasi tanah air, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah telah menyenaraikan faktor-faktor yang boleh meransang kehebatan dalam pergaulan.

Antara faktor yang menyebabkan kita mudah berinteraksi dengan orang lain dan orang lain mudah tertarik dengan kita ialah:

1. Jaga solat dan lakukan ibadah khusus dan umum yang lain.

2. Sentiasa bersangka baik dengan semua orang (walaupun kita perlu berwaspada setiap masa).

3. Sentiasa memberikan senyuman ikhlas kepada orang di sekeliling kita.

4. Banyakkan bersedekah, sama ada dalam bentuk wang, senyuman, bantuan tenaga, masa, nasihat, idea, pandangan, sokongan moral dan doa yang berterusan.

5. Sentiasa memperbanyakkan sabar. Cuba mencari 1001 sebab sebelum kita memarahi seseorang.

6. Sentiasa ceria apabila bertemu dengan orang lain. Pastikan setiap orang seronok berinteraksi dengan kita.

7. Pamerkan perasaan sayang dan sentiasa sayang-menyayangi antara satu sama lain.

8. Bentuk dan pamerkan sahsiah yang positif setiap masa. Peribadi yang kurang sopan akan membuatkan orang lain mual terhadap kita.

9. Amalkan sunnah-sunnah harian setiap masa dan insya-Allah orang lain akan tertarik kepada kita.

10. Jika wujud sebarang perasaan sombong atau benci terhadap orang lain, terus ingatkan diri kita tentang mati. Kita mudah insaf dan balik ke pangkal jalan bila diri mengingati mati.

11. Sentiasa syukur dan redha di atas pemberian Tuhan.

12. Sentiasa memberi salam atau

ucap selamat kepada orang lain. Pemberian salam akan mengukuhkan hubungan sesama manusia.

13. Pamerkan simpati kepada individu-individu yang memerlukan simpati dan perhatian.

14. Jadilah pendengar dan kawan yang setia.

15. Sampaikan berita baik tentang orang lain dan sembunyikan keburukan dan kelemahan orang lain.

16. Sentiasalah bermaaf-maafan sebelum berpisah dengan seseorang dan iringi perpisahan dengan doa.

Bagi menarik perhatian orang lain untuk mendekati kita, maka kita sendiri perlu memperbaiki diri dan kelemahan kita. Orang yang mengasihi dirinya tidak akan melakukan kegiatan yang boleh mensabotaj serta memudaratkan dirinya. Setiap tindak tanduknya akan dilakukan secara berhikmah dan memikirkan perasaan orang lain. Ingatlah pesanan seorang sarjana:

“Orang tidak kisah setakat mana anda tahu (berilmu), sehinggalah mereka tahu yang anda kisah terhadap mereka”.

Cara membuktikan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w.

Setelah nyata kepada kita kewajipan menyintai dan mengasihi Nabi Muhammad SAW berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli yang jelas, marilah pula kita cuba membincangkan tanda dan bukti kasih dan kecintaan seseorang terhadap baginda . Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentuk cinta sejati.Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas-murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.

Keutamaan mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang pencinta Allah SWT dan NabiNya SAW yang tidak asing lagi, Rabi’ah al Adawiyyah dalam syairnya: “Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat-patuh kepada yang dikasihinya.”Selain memiliki semangat di atas, orang-orang yang benar-benar mengasihi Nabi SAW harus terdapat pada dirinya bukti dan tanda berikut:

1. Menjunjung agama Nabinya, mengamalkan Sunnahnya, menurut perkataan dan perbuatannya dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Dia juga mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara ‘kasih’ dan ‘taat’ ini terlihat jelas dalam firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu.” (ali ‘Imran: 31)

Namun semangat semata-mata tidak memadai jika tidak berpaksikan di atas ilmu yang kukuh. Lebih-lebih lagi pada zaman fitnah ini, kegagalan seseorang itu mengenal mana satu Sunnah dan bidaah akan memungkinkan terjebak ke dalam lubuk bidaah yang dianggap sebagai Sunnah. Akhirnya Sunnah dipinggirkan dan bidaah ditegakkan.

Orang yang tersemat di dalam hatinya kasih yang sejati terhadap Rasulullah SAW juga, tidak akan mempedulikan kemarahan manusia lain dalam usahanya mentaati Allah SWT dan Rasul SAW.

2. Sudah menjadi adat dan lumrah berkasih, seorang kekasih akan sering menyebut dan mengingati kekasihnya. Justeru, apabila hati seseorang itu telah mengisytiharkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, maka lidahnya akan sering menyebut nama Kekasihnya SAW dan kotak fikirannya akan sentiasa mengingati Baginda SAW.

Selaku umat Muhammad SAW, kita amat bertuah kerana telah diajar berselawat ke atas kekasih kita Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT. Maka kita beruntung kerana dapat beribadah dengan menyebut, memuji dan berselawat kepada insan yang paling kita cintai dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang memuji Nabi SAW serta lafaz selawat yang diajar sendiri oleh Baginda SAW.

Kita juga dididik oleh Nabi SAW dan ulama pewaris Baginda SAW menghormati hari dan bulan kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul SAW dan Isra’ Mikraj dengan mengisinya dengan pelbagai amalan yang kesemuanya ada kaitan dengan Nabi SAW dalam kerangka ubudiah kepada Allah SWT. Walaupun ada segelintir di kalangan orang Islam sendiri mencurigai bacaan dan amalan-amalan ini.

Menghayati dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih-sayang dengan Nabi SAW dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini, menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan kasar.

3. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan sentiasa berasa rindu untuk bertemu dengan Baginda SAW; untuk melihat zatnya di alam yang kekal abadi kelak, atau sekurang-kurangnya jika dapat menatap kelibat wajahnya yang mulia barang seketika dalam mimpi-mimpi mereka. Sudah pasti setiap kekasih sangat merindui untuk bersua dan menatap wajah kekasihnya.

Kerinduan sebeginilah yang dapat kita rasakan jika kita menyorot kehidupan generasi sahabat. Misalnya, kita dapat turut berkongsi keriangan dan kegembiraan Abu Musa al Asy’ari r.a dan rombongan kaumnya dari Yaman yang berkunjung ke Madinah.

Mereka mempercepatkan langkah dan begitu girang untuk menemui Rasulullah sambil mendendangkan syair kegembiraan: “Esok kita akan bertemu dengan para kekasih kita, Muhammad dan sahabat-sahabatnya!” Setibanya mereka di Madinah dan Masjid Nabi, mereka terus menghadap dan memuliakan Nabi SAW. (riwayat Al-Baihaqi)

4. Seseorang yang mengasihi Baginda SAW juga akan membesarkan diri dan suruhan Baginda termasuk memuliakannya ketika menyebut namanya. Malah ada yang sehingga menunjukkan rasa rendah dan hina diri ketika mendengar nama Baginda SAW disebut di hadapan mereka.

Berkata Ishaq al-Tujibi r.a, sahabat-sahabat Nabi SAW selepas kewafatan Baginda SAW tidak akan menyebut nama Baginda SAW melainkan mereka akan merendahkan diri dan menggigil serta menangis kerana diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat berpisah dengannya.

Hal ini sangat berbeza dengan sesetengah mereka yang mengaku sebagai ahli agama pada zaman kita yang tidak mahu membesarkan dan menobatkan keistimewaan Nabi Muhammad SAW tetapi hanya menumpukan kepada risalahnya dan sunnah yang dibawa olehnya. Seolah-olah Nabi SAW hanyalah berperanan seumpama posmen penghantar surat atau orang suruhan bawahan!

Sedangkan apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya.

Mengasihi Nabi SAW

Ada juga sesetengah mereka yang menolak penggunaan gelaran Sayyidina bagi Nabi SAW sedangkan Nabi SAW lebih daripada layak mendapat gelaran tersebut tetapi dalam masa yang sama mereka bebas menggunakan pelbagai gelaran dalam kehidupan mereka.

5. Orang yang mengasihi Nabi SAW juga sepatutnya akan mengasihi orang yang dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya nasab keturunannya dari kalangan ahli-ahli bait dan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar.

Mereka juga akan memusuhi orang yang memusuhi mereka dan membenci orang yang membenci mereka dan keturunan mereka.

Hakikatnya, sesiapa yang mengasihi seseorang, dia akan mengasihi semua perkara yang disukai oleh orang yang dikasihinya.

Ini ialah sirah para Salaf al-Salih; mereka akan mengasihi segala yang dikasihi oleh Rasulullah SAW sehinggakan terhadap perkara-perkara yang sekadar diharuskan dan digemari oleh nafsu (yang tidak diharamkan oleh syarak).

Anas ibn Malik r.a misalnya, setelah melihat Rasulullah SAW mencari-cari labu di dalam dulang ketika sedang menikmati makanan, maka semenjak hari itu dia turut sentiasa suka kepada labu.

6. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan membenci apa yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi Sunnahnya, melakukan perkara bidaah dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.Allah SWT menjelaskan: Engkau tidak akan mendapati

sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujadalah: 22)

“Mereka” yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah para sahabat Baginda SAW yang telah membunuh orang yang mereka kasihi dan juga bapa-bapa mereka yang ingkar dan kafir semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Ibnu Abbas RA menyatakan, di antara sahabat Baginda SAW yang dimaksudkan di dalam ayat itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.

Beliau sanggup membunuh bapanya dalam peperangan Uhud manakala Saidina Abu Bakar r.a sanggup berlawan satu lawan satu dengan anaknya sebelum memulakan peperangan Badar, tetapi dihalang oleh Rasulullah SAW. Inilah antara bukti cinta yang tidak berbelah-bagi terhadap Baginda SAW.

7. Orang yang benar-benar mencintai Nabi SAW juga pasti akan kasih terhadap al-Quran yang diutuskan kepada Rasulullah SAW yang dengannya manusia mendapat petunjuk. Mereka akan mengikut jejak Baginda SAW yang menjiwai al-Quran dan berakhlak dengannya seperti yang ditegaskan oleh Ummul Mukminin, Aisyah r.ha dalam katanya, “Akhlak Baginda SAW adalah al- Quran itu sendiri”.

Mengasihi al-Quran bererti membacanya, beramal dengannya, memahaminya, menjunjung suruhan dan meninggalkan larangannya.

8. Tanda kasih terhadap Nabi SAW juga ialah berasa kasih dan belas terhadap umatnya dengan memberi nasihat kepada mereka, berusaha melakukan kebaikan dan menghapuskan kemudaratan daripada mereka.

Inilah sebahagian daripada bukti dan tanda yang harus ada pada para pencinta Nabi SAW. Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa semata-mata?

Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah SAW!

Cetek ilmu punca pertikai larangan rai hari kekasih

Pengharaman sambutan supaya Islam ada identiti tersendiri, berbeza dengan umat lain
MENZAHIRKAN kasih sayang kepada kekasih perlu ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang antara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir tetapi perlu diikat akad yang kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi.
Ikatan perkahwinan bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia kerana matlamatnya menjadikan masyarakat stabil, aman dan harmoni. Keindahan menzahirkan kasih sayang itulah dianjurkan Islam dan disemai setiap hari tanpa perlu menunggu satu hari dalam setahun.Apatah lagi, jika jelas kesan daripada sambutan itu menjurus kepada perkara tidak baik apabila ada pihak melakukan perbuatan menyalahi syarak semata-mata untuk membuktikan apa yang dikatakan ‘kasih sayang’.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata amat menyedihkan kerana wujud golongan yang tertekan apabila pihak berkuasa melarang sambutan Hari Kekasih atau Hari Valentine.
Katanya, disebabkan cetek maklumat dan ingin memprotes tanpa mendengar penjelasan mengenai perkara berkenaan menyebabkan peringatan supaya masyarakat Islam tidak meraikan sambutan itu ibarat mencurah air ke daun keladi.
“Seperti yang dinyatakan Ibn Khaldun, kita ibarat masyarakat madani yang bergaul dengan semua orang dan mengimport budaya luar untuk diaplikasi dalam cara hidup kita. Perkara ini berlaku disebabkan cetek ilmu dan apabila diberi penjelasan, tak mahu dengar atau fahami.
“Kesedihan ini meruntun hati kerana berbuih mulut menasihat tetapi tidak memberi kesan,” katanya pada program Bicarawara dan Pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day 2011 di Putrajaya.
Hadir sama pada seminar bertujuan menyedarkan umat Islam hakikat sebenar Hari Valentine yang memang jauh daripada ajaran serta budaya Islam ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Saimah Mokhtar.
Wan Mohamad berkata, Hari Valentine tidak boleh disamakan dengan hari sambutan diraikan secara sejagat seperti Hari Ibu, Hari Bapa atau Hari Kanak-Kanak Sedunia kerana ia tidak dikaitkan dengan peristiwa khusus dan pengaruh agama.
Oleh itu katanya, niat tidak menghalal kan cara dan demi menjaga akidah umat Islam adalah lebih baik jika tarikh 14 Februari dinafikan sebagai sambutan Hari Kekasih dan diganti konsep kasih sayang sepanjang masa yang dianjurkan Islam.
“Mungkin ada kata mereka tidak berniat meraikan Valentine tetapi persoalannya kenapa perlu memilih 14 Februari. Oleh itu, niat tidak menghalalkan cara. Kenapa tidak pilih 31 Ogos atau hari lain?“Inilah yang ingin kita fahamkan masyarakat terutama remaja kerana untuk menunjukkan kasih sayang tidak perlu hari khusus, pilihlah hari lain untuk tunjukkan kasih sayang tetapi bukan 14 Februari, jika benar mereka kata tiada niat terjebak dengan sambutan Hari Valentine,” katanya.
Katanya, usaha JAKIM memberi pengetahuan, kesedaran serta bimbingan supaya masyarakat tidak terbabit dengan keghairahan menyambut Hari Valentine mungkin tidak mampu menghalang sambutannya, tetapi perjuangan membersihkan amalan bukan Islami perlu diteruskan.
Beliau berkata, amalan dan kebiasaan di sebalik pemberian hadiah atau kata-kata pada Hari Valentine mampu menghancurkan akidah Islam yang suci kerana setiap perbuatan mempunyai simbolik serta tersirat sejuta cerita bercanggah dengan pegangan agama dan adat.
Pengharaman serta larangan bukan kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki dengan trend zaman moden tetapi berlandaskan apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan akhirat.
Islam sangat prihatin serta menginginkan umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak tidak boleh mencampur aduk akidah serta amalan ibadat agama lain.
Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)
Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami, maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)