Emerald

Al-Quran

Isnin, 9 Mei 2011

Cara membuktikan cinta kita kepada nabi Muhammad s.a.w.

Setelah nyata kepada kita kewajipan menyintai dan mengasihi Nabi Muhammad SAW berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli yang jelas, marilah pula kita cuba membincangkan tanda dan bukti kasih dan kecintaan seseorang terhadap baginda . Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentuk cinta sejati.Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas-murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.

Keutamaan mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang pencinta Allah SWT dan NabiNya SAW yang tidak asing lagi, Rabi’ah al Adawiyyah dalam syairnya: “Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat-patuh kepada yang dikasihinya.”Selain memiliki semangat di atas, orang-orang yang benar-benar mengasihi Nabi SAW harus terdapat pada dirinya bukti dan tanda berikut:

1. Menjunjung agama Nabinya, mengamalkan Sunnahnya, menurut perkataan dan perbuatannya dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Dia juga mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara ‘kasih’ dan ‘taat’ ini terlihat jelas dalam firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu.” (ali ‘Imran: 31)

Namun semangat semata-mata tidak memadai jika tidak berpaksikan di atas ilmu yang kukuh. Lebih-lebih lagi pada zaman fitnah ini, kegagalan seseorang itu mengenal mana satu Sunnah dan bidaah akan memungkinkan terjebak ke dalam lubuk bidaah yang dianggap sebagai Sunnah. Akhirnya Sunnah dipinggirkan dan bidaah ditegakkan.

Orang yang tersemat di dalam hatinya kasih yang sejati terhadap Rasulullah SAW juga, tidak akan mempedulikan kemarahan manusia lain dalam usahanya mentaati Allah SWT dan Rasul SAW.

2. Sudah menjadi adat dan lumrah berkasih, seorang kekasih akan sering menyebut dan mengingati kekasihnya. Justeru, apabila hati seseorang itu telah mengisytiharkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, maka lidahnya akan sering menyebut nama Kekasihnya SAW dan kotak fikirannya akan sentiasa mengingati Baginda SAW.

Selaku umat Muhammad SAW, kita amat bertuah kerana telah diajar berselawat ke atas kekasih kita Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT. Maka kita beruntung kerana dapat beribadah dengan menyebut, memuji dan berselawat kepada insan yang paling kita cintai dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang memuji Nabi SAW serta lafaz selawat yang diajar sendiri oleh Baginda SAW.

Kita juga dididik oleh Nabi SAW dan ulama pewaris Baginda SAW menghormati hari dan bulan kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul SAW dan Isra’ Mikraj dengan mengisinya dengan pelbagai amalan yang kesemuanya ada kaitan dengan Nabi SAW dalam kerangka ubudiah kepada Allah SWT. Walaupun ada segelintir di kalangan orang Islam sendiri mencurigai bacaan dan amalan-amalan ini.

Menghayati dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih-sayang dengan Nabi SAW dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini, menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan kasar.

3. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan sentiasa berasa rindu untuk bertemu dengan Baginda SAW; untuk melihat zatnya di alam yang kekal abadi kelak, atau sekurang-kurangnya jika dapat menatap kelibat wajahnya yang mulia barang seketika dalam mimpi-mimpi mereka. Sudah pasti setiap kekasih sangat merindui untuk bersua dan menatap wajah kekasihnya.

Kerinduan sebeginilah yang dapat kita rasakan jika kita menyorot kehidupan generasi sahabat. Misalnya, kita dapat turut berkongsi keriangan dan kegembiraan Abu Musa al Asy’ari r.a dan rombongan kaumnya dari Yaman yang berkunjung ke Madinah.

Mereka mempercepatkan langkah dan begitu girang untuk menemui Rasulullah sambil mendendangkan syair kegembiraan: “Esok kita akan bertemu dengan para kekasih kita, Muhammad dan sahabat-sahabatnya!” Setibanya mereka di Madinah dan Masjid Nabi, mereka terus menghadap dan memuliakan Nabi SAW. (riwayat Al-Baihaqi)

4. Seseorang yang mengasihi Baginda SAW juga akan membesarkan diri dan suruhan Baginda termasuk memuliakannya ketika menyebut namanya. Malah ada yang sehingga menunjukkan rasa rendah dan hina diri ketika mendengar nama Baginda SAW disebut di hadapan mereka.

Berkata Ishaq al-Tujibi r.a, sahabat-sahabat Nabi SAW selepas kewafatan Baginda SAW tidak akan menyebut nama Baginda SAW melainkan mereka akan merendahkan diri dan menggigil serta menangis kerana diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat berpisah dengannya.

Hal ini sangat berbeza dengan sesetengah mereka yang mengaku sebagai ahli agama pada zaman kita yang tidak mahu membesarkan dan menobatkan keistimewaan Nabi Muhammad SAW tetapi hanya menumpukan kepada risalahnya dan sunnah yang dibawa olehnya. Seolah-olah Nabi SAW hanyalah berperanan seumpama posmen penghantar surat atau orang suruhan bawahan!

Sedangkan apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya.

Mengasihi Nabi SAW

Ada juga sesetengah mereka yang menolak penggunaan gelaran Sayyidina bagi Nabi SAW sedangkan Nabi SAW lebih daripada layak mendapat gelaran tersebut tetapi dalam masa yang sama mereka bebas menggunakan pelbagai gelaran dalam kehidupan mereka.

5. Orang yang mengasihi Nabi SAW juga sepatutnya akan mengasihi orang yang dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya nasab keturunannya dari kalangan ahli-ahli bait dan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar.

Mereka juga akan memusuhi orang yang memusuhi mereka dan membenci orang yang membenci mereka dan keturunan mereka.

Hakikatnya, sesiapa yang mengasihi seseorang, dia akan mengasihi semua perkara yang disukai oleh orang yang dikasihinya.

Ini ialah sirah para Salaf al-Salih; mereka akan mengasihi segala yang dikasihi oleh Rasulullah SAW sehinggakan terhadap perkara-perkara yang sekadar diharuskan dan digemari oleh nafsu (yang tidak diharamkan oleh syarak).

Anas ibn Malik r.a misalnya, setelah melihat Rasulullah SAW mencari-cari labu di dalam dulang ketika sedang menikmati makanan, maka semenjak hari itu dia turut sentiasa suka kepada labu.

6. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan membenci apa yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi Sunnahnya, melakukan perkara bidaah dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.Allah SWT menjelaskan: Engkau tidak akan mendapati

sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujadalah: 22)

“Mereka” yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah para sahabat Baginda SAW yang telah membunuh orang yang mereka kasihi dan juga bapa-bapa mereka yang ingkar dan kafir semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Ibnu Abbas RA menyatakan, di antara sahabat Baginda SAW yang dimaksudkan di dalam ayat itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.

Beliau sanggup membunuh bapanya dalam peperangan Uhud manakala Saidina Abu Bakar r.a sanggup berlawan satu lawan satu dengan anaknya sebelum memulakan peperangan Badar, tetapi dihalang oleh Rasulullah SAW. Inilah antara bukti cinta yang tidak berbelah-bagi terhadap Baginda SAW.

7. Orang yang benar-benar mencintai Nabi SAW juga pasti akan kasih terhadap al-Quran yang diutuskan kepada Rasulullah SAW yang dengannya manusia mendapat petunjuk. Mereka akan mengikut jejak Baginda SAW yang menjiwai al-Quran dan berakhlak dengannya seperti yang ditegaskan oleh Ummul Mukminin, Aisyah r.ha dalam katanya, “Akhlak Baginda SAW adalah al- Quran itu sendiri”.

Mengasihi al-Quran bererti membacanya, beramal dengannya, memahaminya, menjunjung suruhan dan meninggalkan larangannya.

8. Tanda kasih terhadap Nabi SAW juga ialah berasa kasih dan belas terhadap umatnya dengan memberi nasihat kepada mereka, berusaha melakukan kebaikan dan menghapuskan kemudaratan daripada mereka.

Inilah sebahagian daripada bukti dan tanda yang harus ada pada para pencinta Nabi SAW. Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa semata-mata?

Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah SAW!

Cetek ilmu punca pertikai larangan rai hari kekasih

Pengharaman sambutan supaya Islam ada identiti tersendiri, berbeza dengan umat lain
MENZAHIRKAN kasih sayang kepada kekasih perlu ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang antara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir tetapi perlu diikat akad yang kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi.
Ikatan perkahwinan bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia kerana matlamatnya menjadikan masyarakat stabil, aman dan harmoni. Keindahan menzahirkan kasih sayang itulah dianjurkan Islam dan disemai setiap hari tanpa perlu menunggu satu hari dalam setahun.Apatah lagi, jika jelas kesan daripada sambutan itu menjurus kepada perkara tidak baik apabila ada pihak melakukan perbuatan menyalahi syarak semata-mata untuk membuktikan apa yang dikatakan ‘kasih sayang’.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata amat menyedihkan kerana wujud golongan yang tertekan apabila pihak berkuasa melarang sambutan Hari Kekasih atau Hari Valentine.
Katanya, disebabkan cetek maklumat dan ingin memprotes tanpa mendengar penjelasan mengenai perkara berkenaan menyebabkan peringatan supaya masyarakat Islam tidak meraikan sambutan itu ibarat mencurah air ke daun keladi.
“Seperti yang dinyatakan Ibn Khaldun, kita ibarat masyarakat madani yang bergaul dengan semua orang dan mengimport budaya luar untuk diaplikasi dalam cara hidup kita. Perkara ini berlaku disebabkan cetek ilmu dan apabila diberi penjelasan, tak mahu dengar atau fahami.
“Kesedihan ini meruntun hati kerana berbuih mulut menasihat tetapi tidak memberi kesan,” katanya pada program Bicarawara dan Pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day 2011 di Putrajaya.
Hadir sama pada seminar bertujuan menyedarkan umat Islam hakikat sebenar Hari Valentine yang memang jauh daripada ajaran serta budaya Islam ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Saimah Mokhtar.
Wan Mohamad berkata, Hari Valentine tidak boleh disamakan dengan hari sambutan diraikan secara sejagat seperti Hari Ibu, Hari Bapa atau Hari Kanak-Kanak Sedunia kerana ia tidak dikaitkan dengan peristiwa khusus dan pengaruh agama.
Oleh itu katanya, niat tidak menghalal kan cara dan demi menjaga akidah umat Islam adalah lebih baik jika tarikh 14 Februari dinafikan sebagai sambutan Hari Kekasih dan diganti konsep kasih sayang sepanjang masa yang dianjurkan Islam.
“Mungkin ada kata mereka tidak berniat meraikan Valentine tetapi persoalannya kenapa perlu memilih 14 Februari. Oleh itu, niat tidak menghalalkan cara. Kenapa tidak pilih 31 Ogos atau hari lain?“Inilah yang ingin kita fahamkan masyarakat terutama remaja kerana untuk menunjukkan kasih sayang tidak perlu hari khusus, pilihlah hari lain untuk tunjukkan kasih sayang tetapi bukan 14 Februari, jika benar mereka kata tiada niat terjebak dengan sambutan Hari Valentine,” katanya.
Katanya, usaha JAKIM memberi pengetahuan, kesedaran serta bimbingan supaya masyarakat tidak terbabit dengan keghairahan menyambut Hari Valentine mungkin tidak mampu menghalang sambutannya, tetapi perjuangan membersihkan amalan bukan Islami perlu diteruskan.
Beliau berkata, amalan dan kebiasaan di sebalik pemberian hadiah atau kata-kata pada Hari Valentine mampu menghancurkan akidah Islam yang suci kerana setiap perbuatan mempunyai simbolik serta tersirat sejuta cerita bercanggah dengan pegangan agama dan adat.
Pengharaman serta larangan bukan kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki dengan trend zaman moden tetapi berlandaskan apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan akhirat.
Islam sangat prihatin serta menginginkan umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak tidak boleh mencampur aduk akidah serta amalan ibadat agama lain.
Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)
Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami, maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ahad, 8 Mei 2011

Pemakaian Cincin Mengikut Islam

“Nasihat Nabi Muhammad S.A.W kepada Saidina Ali sesudah Saidina Ali berkahwin dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan Nabi Muhammad S.A.W berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin, pakailah di jari:

1] jari manis
2] jari kelingking (anak jari)
dan janganlah memakai pada jari

1] jari tengah
2] jari telunjuk

Nabi Muhammad SAW melarang kerana memakai cincin pada jari telunjuk dan jari tengah adalah meniru cara berhias kaum yang dilaknat oleh Allah iaitu kaum yang derhaka dizaman Nabi Lut a.s.

Perhatian: Cara memakai cincin adalah termasuk lelaki ataupun perempuan. Muslimin dan Muslimat, sila nasihatkan kawan-kawan dan juga saudara-mara ataupun anak-anak tentang kaedah yang betul untuk berhias di dalam syariat Islam, kalau tidak sia-sia saja kita mendapat kecelakaan dari Allah dan kalau kita memakai cincin dengan niat mengikut sunnah Nabi S.A.W maka dapatlah kita akan pahala.

Adapun tentang jari mana yang hendak didahulukan ketika memotong kuku, al-Imam Ibn Hajar al-’Asqalani (10/345) menyebut:

“Tidak thabit dalam tertib jari-jari ketika memotong kuku sesuatu hadithpun… Ibn Daqiq al-’Ied telah mengingkari ben

tuk (memotong kuku) yang telah disebut oleh al-Ghazali dan orang yang mengikutnya, dengan berkata: “Semua cara-cara itu tidak ada asalnya, dan untuk mengatakan ia suatu yang digalakkan, ianya suatu yang tidak ada dalilnya, ia merupakan suatu yang tercela di sisiku, sekiranya seseorang menggambarkan, cara memotong kuku dimulakan dengan jari telunjuk tangan kanan disebabkan kemuliaannya, maka jari-jari yang lain, dia tidak akan dapat menentukannya dengan cara itu. Ya! memulakan dengan yang kanan samaada tangan ataupun kaki itu ada asalnya, kerana Nabi S.A.W. suka memulakan sesuatu dengan sebelah kanan.”

IBU MITHALI

Ibu mithali ibu yang sejati
Kasih sayangmu kasih yang suci
Pengorbananmu disanjung tinggi
Jasamu tetap di sanubari

Ibu oh ibu fitrah ku murni
Kelembutanmu menyentuh hati
Semai kasihmu dalam jiwaku
Kau disayangi kerana menyayangi

Ibu oh ibu hatimu suci
Tulus ikhlasmu mendidik daku
Sanggup bersusah dan menderita
Demi kebahagiaan sekeluarga

Ibu oh ibu kau serikandi
Bakti amalmu tidak terperi
Beramal soleh berperibadi
Mentaati Allah juga suami

Amalan Soleh Sumber Kekuatan Peribadi

DUNIA tanpa sempadan membenarkan kita menembusi setiap ceruk kehidupan manusia tanpa dapat dikawal undang-undang. Hanya peribadi salih boleh menghalang perbuatan maksiat kepada Allah seperti tidak amanah, tidak bertanggungjawab ataupun tidak menghormati hak orang lain.

Pembentukan dan pengembangan peribadi Muslim yang dikehendaki Allah dan disebut dalam al-Quran ialah sahsiah salih dari segi tutur kata dan perbuatan. Al-Quran menggariskan prinsip sama sejak mula diikuti oleh umat Islam. Umat Islam perlu membina peribadi teguh dalam dunia tanpa sempadan ini. Jika tidak, mereka akan ketinggalan dalam soal agama, akhlak dan kepemimpinan. Ada bimbingan yang kita harapkan daripada orang yang arif dalam apa juga bidang.

Untuk membina personaliti Muslim dihormati ialah dengan akidah yang bersih. Muslim perlu mempunyai ikatan kuat dengan Allah supaya mereka percaya kepada qada dan qadar serta dunia selepas kiamat.

Muslim juga akan yakin dan cekal dengan ujian Allah jika mereka mempunyai akidah yang bersih serta bersedia menghadapi cabaran mendatang. Semua ini dapat dicapai melalui hubungan rapat dengan Allah melalui ibadat hakiki yang dilaksanakan.

Beza kehambaan kepada Pencipta bukan diukur dengan pakaian buruk dan jalan tunduk, tetapi keikhlasan beribadah serta tidak berbangga melakukan perbuatan baik atau mempunyai niat sebaliknya.

Peribadi salih termasuk juga kekuatan fizikal yang memungkinkan umat Islam menjalankan ibadah dan perintah Allah dengan sempurna tanpa bergantung kepada pertolongan orang. Kesihatan yang baik, memungkinkan umat Islam memenuhi amanah dengan baik.

Peribadi Muslim juga perlu kepada cara berfikir yang intelek. Antara sifat Rasulullah ialah cerdas dan tangkas membuat keputusan disebabkan keintelektualan Baginda yang tinggi. Jika direnungkan, setiap apa akan dilakukan, diperkatakan atau diam sekalipun, ia bermula dengan berfikir. Sebab itu individu Muslim cemerlang ialah yang bijaksana dan bertimbang rasa.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah: Samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran.”

Satu aspek lain tidak kurang pentingnya dalam membina peribadi seorang Islam ialah mesti berjuang memerangi hawa nafsu yang jahat. Sebagai manusia, kita mempunyai kecenderungan terjebak hasutan nafsu dan daya juang tinggi membolehkan kita melawan daripada melakukan maksiat.

Setiap Muslim juga perlu memastikan peribadi mereka terjaga dengan menepati masa dan tidak membazirkan masa. Allah banyak mengingatkan manusia supaya menjaga masa 24 jam yang diperuntukkan sehari semalam.

Muslim juga perlu berdisiplin dan profesional selain tekun, bijak berinteraksi, berintegriti dan amanah. Umat Islam sepatutnya menjadi contoh terbaik kepada bangsa lain kerana Islam adalah agama sempurna yang mendidik umatnya ke arah kebaikan.

Muslim harus mempunyai kuasa supaya peribadi mereka tidak terhalang oleh penafian atau doktrin kuasa lain yang membantutkan kegemilangan tamadun Islam dikecapi berabad lalu.

Akhirnya, setiap Muslim mesti memastikan dirinya bermanfaat kepada orang lain. Kebajikan, kebaikan dan amalan baik yang dilakukan perlulah saling dirasai oleh umat Islam lain khasnya atau seluruh manusia amnya.

Dunia ini akan gelap gelita jika tidak ada lagi umat Islam kerana umat Islam adalah bangsa yang terpilih dan sebab itulah Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.”