Emerald

Al-Quran

Rabu, 16 November 2011

Nama - nama Dalam Islam.


  Kebiasaannya, sebelum seseorang anak lahir ke dunia, ibu dan bapa sudah berkira-kira untuk mencari nama yang sesuai untuk anak yang tersayang. Mencari nama yang baik bukan untuk mendapat pujian
atau untuk melambangkan status sosial dan seumpamanya, tetapi ia adalah satu ibadah yang dituntut oleh agama.

Abu Dawud telah meriwayatkan dari Abu Darda' RA. katanya, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu pada Hari Kiamat, maka perelokkanlah nama-nama kamu." Memperelokkan nama bermaksud memilih nama yang selari dengan tuntutan Islam. Memilih nama perlu ada tujuan. Bukan sekadar untuk memudahkan panggil atau untuk menggabungkan nama ibu dan bapa serta datuk-datuk dan nenek-nenek, bahkan ia berkaitan dengan soal pembentukan peribadi anak itu.

Bukankah panggilan itu mengandungi doa?

Setiap orang yang memangilnya, dikira membuat doa untuknya. Jika seorang anak itu namanya 'Mujahid' yang bermaksud seorang pejuang atau orang yang berjihad, setiap orang akan memanggilnya dengan gelaran pejuang. Secara tidak langsung dia didoakan untuk menjadi pejuang pada jalan Allah SWT. Sebaliknya jika seorang itu dinamakan dengan nama 'Hazan' yang bermaksud berdukacita, setiap orang akan memanggilnya sebagai seorang yang sedang sedih dan berdukacita.
Secara tidak langsung pangilan demi panggilan itu boleh memberikan kesan kepadanya.

Nama Yang Tidak Baik


Malangnya hari ini, terdapat segelintir masyarakat yang kurang mengambil berat soal nama. Ada yang memilih nama yang kelihatan indah tetapi hakikatnya tidak mempunyai apa-apa erti, atau lebih malang lagi ia membawa erti yang negatif. Mereka suka nama-nama yang nampak moden seperti Natasya, Zana, Susan, Hyfa, Dayanty atau seumpamanya. Lebih menyedihkan lagi, jika nama-nama itu ditiru atau diambil nama-nama orang kafir. Ada juga yang menggabungjalin nama ibu dan bapa. Mereka lakukan tanpa mengambil kira maksud gabungan perkataan itu . Contohnya, ibu yang bernama Safrina dan bapa bernama Ihsan, anaknya diberi nama Safih Insan, yang bermakna 'Manusia yang Bodoh'. Kadang-kadang nama yang digabungkan itu menjadi panjang tanpa sebarang erti seperti Nor Sajamifulah Niruszam atau seumpamanya. Terdapat dikalangan ibu bapa yang cuba memberikan nama yang baik tetapi mereka tersilap langkah, contohnya meletakkan perkataan Abdul atau lebih tepatnya 'Abd yang membawa maksud Hamba dengan perkataan lain selain nama-nama Allah seperti Abdul Muhammad, dan Abdul Musa.
Ada juga yang silap dengan hanya meletakkan perkataan Abdul untuk anaknya. Jika mahu ringkas mereka sebenarnya boleh menggunakan nama Abduh yang bermaksud Hamba-Nya. Kadang-kadang terdapat ibu bapa yang mahu menggunakan kreativiti dengan menamakan anaknya sempena sesuatu peristiwa atau tempat sehingga menjadi janggal seperti Mohd Felda, Nor Malaysia, Saiful Johori, Mohd Toyota, Siti Sukom dan seumpamanya. Mereka sebenarnya menjadikan anak-anak mereka mangsa ejekan sepanjang hayat. Jika bapa tersilap memilih nama, maka sewajarnya dia berusaha agar nama itu ditukar kepada nama yang lain. Rasulullah SAW pernah bertindak menukar nama seseorang dengan nama yang lebih baik.
Al-Termizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Sayyidina Umar bin Al-Khattab RA mempunyai seorang anak perempuan namanya 'Aashiah (Penderhaka), maka Rasulullah SAW menukarkan namanya menjadi Jamilah (Yang Cantik). Sebaik-baiknya para bapa merujuk kepada para ilmuan atau sekurang-kurangnya membelek buku-buku panduan sebelum memilih nama yang sesuai untuk anak. Ingatlah bahawa nama itu adalah identiti terpenting bagi seseorang manusia. Kesan pemberian nama itu bukan terhenti setakat di dunia sahaja bahkan melarat sehingga ke akhirat. Oleh itu, menjadi kemestian kepada para bapa untuk memilih nama yang baik-baik.

Nama Yang Baik


Rasullullah SAW menganjurkan agar anak-anak dinamakan dengan nama-nama yang mempunyai maksud baik atau dinisbahkan kepada orang yang baik. Bapa-bapa boleh memilih nama-nama Rasul seperti Hud, Nuh, Ilyasak dan lain-lain; atau nama para sahabat seperti Mus'ab, Mu'az, Talhah, Zubair, Handzalah dan lain-lain; atau nama para 'ulama' seperti As Syafie, Al Bukhari, As Subki, Al Andalusi, Al Tabari, Al Nakhai'i, Al Zamakhsyari, Ibnu Qayyim, Ibn Taimiyyah, Al 'Izz dan lain-lain. Mudah-mudahan anak itu, dapat menghayati kehebatan tokoh-tokoh silam lantas menjadikannya sebagai ikutan. Antara nama yang afdhal ialah nama yang dinisbahkan kepada nama Allah, tetapi dimulai dengan kalimah 'Abd. Nama-nama Abdullah, Abdul Quddus, Abdul Jabbar, Abdul Qahhar, Abdul Fattah, Abdul Mu'izz dan lain-lain adalah contoh bagi kategori ini. Di samping itu para bapa digalakkan memilih nama-nama yang mempunyai nama indah dan seboleh-bolehnya tepat dengan nahu Arab. Contohnya nama Saif bermakna pedang, tetapi nama Saiful tidak mempunyai apa-apa makna kecuali jika disandarkan kepada perkataan lain seperti Saiful Islam yang bermaksud Pedang Islam. Sebaik-baiknya juga nama yang dipilih itu menepati kesesuaian jantinanya. Kesimpulannya, ibu bapa yang akan menyambut bayi perlu membuat persediaan awal sebelum tiba masa kelahiran. Persediaan seperti, membanyakkan bacaan al-Quran, berzikir dan bertafakur serta mencari nama yang sesuai untuk anak perlu diutamakan. Sebagai pendidik, ibu dan bapa tidak boleh mengambil lewa soal-soal ini.

Ingatlah, apa yang disemai hari ini, itulah yang akan dituai esok hari.

Anda Boleh Lihat Makna Nama DISINI

Artikel iluvislam.com

Selasa, 15 November 2011

9 Adab ketika menuntut ilmu...





1. IKHLAS NIAT –

Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah memberi amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak susah untuk ikhlas di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang berada dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita terlupa bahawa ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya membawa perubahan kepada keislaman. Jadikanlah diri kita sebagaimana padi yang mana semakin semakin berisi semakin tunduk ke bumi kerana rendah diri. Jangan jadi sebagaimana lalang yang tinggi semakin mendongak ke langit kerana sombong. Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas dalam menuntut ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah diri. Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah :.........Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.

2. TEKUN BERUSAHA DAN TAWAKKAL - 

Sentiasa bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat diatasi dengan membaca nota atau buku-buku yang kecil dan ringan atau mendengar kaset ceramah agama yang berbahasa Melayu dan sebaiknya berbahasa Arab.Perkara ini mampu melembut hati kita kerana sesiapa yang menjauhi nasihat ataupun tazkirah diri ditakuti Allah akan mengeraskan hatinya sebagaimana firman Allah dalam ayat 5 surah as-Sof yang bermaksud : Dan ingatlah ketika mana nabi Musa berkata kepada kaumnya :"Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu mengetahui bahawa aku ini adalah utusan Allah kepadamu?". Maka tatkala mereka buat endah tak endah sahaja lalu Allah memalingkan hati mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kerpada kaum yang fasik. Ayat ini walaupun menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya terus kekal hingga sekarang untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Kita juga hendaklah mewujudkan suasana sekeliling terutama di rumah dengan budaya ilmu bukannya budaya yang dipenuhi dengan cara mewah dan kesenangan serta hiburan yang boleh menghilangkan perasaan semangat untuk menambah ilmu dan pengetahuan.Kita hendaklah mencontohi ulama'-ulama' silam yang mana mereka belajar dalam keadaan susah tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam suasana belajar bukannya mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya perasaan bersungguh untuk belajar.Disamping itu kita mestilah bertawakkal kepada Allah agar kejayaan diimpikan akan menjadi milik kita.Tawakkal yang dilakukan mestilah mencukupi syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah natijah ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.

3. MENJAUHI MAKSIAT – 

Kita mestilah menghidupkan budaya amar ma’ruf dan nahi munkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa. Cubalah sedaya yang mungkin di dalam menghindari kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan menuju ke arahnya.Jangan sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat untuk bertapak di hati kita. Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak endah sahaja terhadap perkara maksiat ini yang mana ia boleh menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih besar lagi. Di zaman sekarang ramai orang memandang maksiat yang kecil seperti maksiat mata, mulut, telinga, tangan(internet ataupun tulisan) serta pergaulan antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin hanya suatu perkara yang biasa dan dirasakan ia bukannnya maksiat dan mereka hanya menganggap hanya dosa besar seperti berzina, mencuri, memukul orang dan lain-lain lagi sahaja sebagai maksiat. Dosa yang kecil jika dibuat berterusan akan menjadi dosa besar.

4. MEMILIH SAHABAT YANG SOLEH - 

Pilihlah sahabat yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain di dalam rumah kita sendiri samada berbentuk rasmi seperti diskusi kitab atau melalui perbincangan yang tidak rasmi setiap hari.Luqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya. Disamping itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar. Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang terpengaruh dengan cara hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud :Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa. Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi dan Abu Daud : Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman.

5. BANYAKKAN ZIKRULLAH –

Pastikan kita sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun ringkas kerana ulama’ sufi begitu menitik beratkan perkara wirid ini kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati dan ia juga boleh mendatangkan perasaan ingin memusabahkan diri dengan amalan seharian. Tanpa wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan perasaan zikrullah agak berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan memudahkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati. Jangan ajar diri kita melengah-lengahkan solat lima waktu kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke arah mengabaikan solat. Bacalah Al-Quran sekurang-kurangnya sehelai setiap hari kerana ia merupakan ibu segala ubat. Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap gerak kerja kita seharian kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.

6. MENJAGA KEHORMATAN-

Kita wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala ke'aiban diri dan orang lain kerana ia membawa kepada keredhaan Allah dan manusia lain kepada diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya dicucuri dengan keredhaan dan rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan seharian. Manakala mereka yang jauh daripada rahmat Allah, hidup mereka dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan sekali-kali menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya daripada panah malam.Firman Allah dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan perasaan prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah salah seorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

7. DOA DAN KEREDHAAN IBUBAPA-

Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibubapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka meredhai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa terhadap kita. Firman Allah dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra' yang bermaksud : Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan "uf" dan janganlah kamu menghertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : " Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil".

8. MENGHORMATI GURU-

Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana imam As-Syafi'e walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab'adh(kena sujud sahwi jika tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat itu berhampiran maqam gurunya imam Malik kerana menghormati gurunya. Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya ulama' silam begitu menitik beratkan masalah keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini. Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja.Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah kita fikir dan renungi bersama tentang dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan sekarang mengenai pandangan dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa ada keserasian dan kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam kehidupan seharian.Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan.

9. BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG DIPEROLEHI - 

Kita mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita. Ulama' silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana melacurkan ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah merupakan antara sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.Berapa ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari.Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan merealisasikannya dalam kehidupan. Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, kita tidak mampu melaksanakannya.Samalah kita sama-sama menghayati firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Sof yang bermaksud :Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kotakan.

Ribuan Terima Kasih : Blog Sekilas Pandang.

Khamis, 3 November 2011

HARI RAYA AIDILADHA





Asal-Usul Aidiladha :

Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar.

Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail. Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”

Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi Ibrahim mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.”

Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah S.W.T terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah S.W.T perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah S.W.T.

Peristiwa ini ada diterangkan dalan surah Ash-Shaffat ayat 101 hingga ayat 111

Pengenalan :

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit Hari Raya Aidil Fitri.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.

Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.

Hari Raya Aidiladha Dalam Hadis :

Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)

Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."

Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a: Diriwayatkan daripada Ibnu Juraij katanya: Aku telah diberitahu oleh Ata' daripada Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a kedua-duanya berkata: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri) dan sembahyang Hari Raya Korban (Aidiladha). Selepas beberapa ketika aku bertanya Ata' tentang perkara tersebut: Lantas dia menjawab dengan berkata: Aku telah diberitahu oleh Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a bahawa: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri), baik ketika imam keluar atau sesudahnya. Juga tiada iqamat atau apa-apa pun.

Sumber: Wikipedia & http://terbaru2010.com

Selasa, 1 November 2011

Tips 34 Pelajar Cemerlang .



1. Optimistik 
Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!'

2. Jangan bersikap pesimistik
Pelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.

3. Kesedaran memikul tanggungjawab
Pelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.

4. Tumpuan sepenuh hati 
Pelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.

5. Mulakan dari awal 
Pelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.

6. Sentiasa bersedia 
Pelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'

7. Lengkapkan peralatan 
Pelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa 'bengang'?

8. Tepati waktu belajar 
Pelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.

9. Dapatkan bantuan guru
Pelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.

10. Hormati guru
Pelajar yang cemerlang sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.

11. Bersoal jawab dengan guru 
Pelajar yang cemerlang bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.

12. Beri pandangan membina 
Pelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.

13. Berbincang dengan rakan
Pelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

14. Siapkan tugasan yang diberi 
Pelajar yang cemerlang menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

15. Tubuhkan kumpulan studi 
Pelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang hanya suka temberang.

16. Sering masuk perpustakaan 
Pelajar yang cemerlang menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam. Perpustakaan adalah gedung ilmu. Perpustakaan juga adalah tempat yang sangat sesuai untuk anda mentelaah pelajaran.

17. Baca akhbar 
Pelajar yang cemerlang membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan. Secara khususnya ini merujuk kepada isu-isu am dan rencana ilmiah dan bukan ruangan gossip atau artis.

18. Menonton rangcangan yang sesuai 
Pelajar yang cemerlang menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi. Antara lain adalah rencana pengetahuan (seperti 'Discovery') dan berita semasa.

19. Lakukan peperiksaan kendiri 
Pelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang 'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandai-pandailah cari ubatnya.

20. Sediakan jadual waktu 
Pelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.

21. Sertai ceramah motivasi 
Pelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.

22. Sertai seminar peperiksaan 
Pelajar yang cemerlang mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan. Sertainya seminar-seminar yang dikendalikan oleh orang yang pakar dalam bidang masing-masing. Selain daripada pengalaman, anda juga mungkin menerima pelbagai tips dan petua berguna.

23. Beli buku rujukan
Pelajar yang cemerlang membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.

24. Masuk kelas tuisyen 
Pelajar yang cemerlang mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.

25. Lawatan ke pameran buku 
Pelajar yang cemerlang mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan. Kalaupun anda tidak membeli, sekurang-kurangnya jiwa anda akan hampir pada buku dan ilmu. Jika anda selalu menziarah sumber ilmu, ilmu itu pula akan sering menziarahi anda. Kalau anda masuk ke kedai minyak wangi, keharumannya akan terlekat juga. Kalau anda masuk ke kandang najis... (fikirlah sendiri)

26. Sertai kokurikulum sekolah
Pelajar yang cemerlang menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pula akan melahirkan pemikiran yang lancar. Otak yang berkarat akan melahirkan pemikiran yang lembab.

27. Sanggup manghadapi cabaran 
Pelajar yang cemerlang perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah. Rayuan kekasih atau buah hati juga kadangkala merupakan dugaan yang maha hebat. Pandai-pandailah membawa diri.

28. Jaga keselamatan diri 
Pelajar yang cemerlang menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.

29.Jaga kesihatan fizikal
Pelajar yang cemerlang menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Makan makanan yang berzat. Kurangkan makanan ringan atau 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.

30. Makanan seimbang 
Pelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan. 

31. Malu bertanya sesat jalan 
Pelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan. 

32. Sembahyang 
Pelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing. 

33. Doa 
Pelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar. 34. Tawakkal Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.



34. Tawakkal
Pelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.